Kanak-kanak Melecur Terkena Simbahan Minyak Petrol

Kanak-kanak Melecur Terkena Simbahan Minyak Petrol

loading...

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki melecur akibat terkena simbahan minyak petrol ketika bermain di taman permainan berdekatan rumahnya di Taman Jelutong, Kuala Nerang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 petang, Mohd Naufal Zafran Mohd Zahirrudin, 7, melecur di bahagian badan dan tangan akibat disambar api.

Bapa mangsa, Mohd Zahirrudin Zakaria, 42, berkata, dia menyedari anak keempat dari lima beradik itu cedera terkena simbahan petrol sekitar jam 2.45 petang.

“Secara kebetulan, saya naik motosikal dalam perjalanan pulang dari kedai ke rumah kami yang terletak kira-kira 500 meter dari taman permainan.
“Ketika melalui taman permainan, saya lihat Naufal sendirian dalam keadaan berdiri dan dia sedang cuba tanggalkan seluar, seperti cuba padamkan api,” katanya.
Menurutnya, setelah diperiksa, terdapat kesan kebakaran pada beberapa bahagian tubuh anak lelakinya, termasuk di bahagian belakang, paha dan kedua belakang tangan.

“Terdapat satu botol minuman 1.5 liter dalam keadaan menyala dalam longkang berdekatan, selain kesan terbakar pada rumput serta bau minyak petrol,” katanya.

Mohd Zahirrudin berkata, dia segera membawa pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang ke rumah sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Nerang (HKN).

Mangsa dirujuk ke Unit Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas kira-kira tiga jam menerima rawatan kecemasan di HKN.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Berdasarkan pemeriksaan, kanak-kanak itu dipercayai bermain sebotol minyak dan mancis yang ditemui di taman permainan sebelum terbakar,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu, dan mangsa kini masih menerima rawatan di HSB.

loading...